Surah ke-18 dalam Al-Quran ini adalah merupakan antara surah yang digemari kerana pengajaran yang terdapat dalam surah ini. Dinamakan Al-Kahfi yang bermasuk gua dan Ashabul Kahfi yang membawa maksud penghuni-penghuni gua.
Cerita utama yang dikisahkan dalam surah tersebut ialah kisa penghuni gua, si pemilik kebun, Nabi Musa dan Nabi Khidir dan juga kisah Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj. Empat kisah itu mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.
Mesej utama surah ini berkisar dengan satu tema iaitu pertembungan antara iman dan keduniaan.
Surah al-Kahfi banyak merakamkan amaran Allah kepada orang yang kufur terhadap nikmatNya, di samping memberikan khabar gembira kepada hamba-hambaNya yang soleh, menghuraikan dengan jelas pertentangan antara iman dan keduniaan serta menggariskan makna kebahagiaan yang sebenar menurut Islam.
Kisah-kisah yang terkandung di dalam surah al-Kahfi menjadi bahan renungan dan peringatan kepada mukmin sepanjang zaman khususnya di era tamadun ke“dajjal”an bermaharajalela kerana, pertarungan keduniaan dan iman berterusan sepanjang zaman.
Islam tidak menolak keperluan material (benda), tetapi memerangi materialisme, suatu fahaman yang menjadikan kekayaan, pengaruh dan kuasa sebagai matlamat utama dan tuhan-tuhan baru yang dipuja dan disembah.
Nabi SAW menggalakan umatnya mengamalkan surah al-Kahfi selain daripada maksud ibadah adalah supaya mengambil “ibrah” agar intisari pengajaran ayatnya memelihara kita daripada fitnah Dajjal. Fitnah Dajjal adalah merupakan fitnah yang terakhir dan paling besar sekali.
Baginda ﷺ bersabda;
مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنْ الدَّجَّالِ
“Di antara penciptaan Adam sampai ke hari kiamat itu, tidak ada perkara yang lebih besar dari Dajjal.” (riwayat Muslim)
مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنْ الدَّجَّالِ
“Di antara penciptaan Adam sampai ke hari kiamat itu, tidak ada perkara yang lebih besar dari Dajjal.” (riwayat Muslim)
Kisah pertama iaitu penghuni gua mengisahkan tentang sekumpulan pemuda atau Asha al-Kahfi yang diuji keimanan sehingga berlindung dalam gua. Kisah itu menuntut kita agar bersahabat dengan orang soleh dan saling membimbing antara satu dengan lain dalam memelihara akidah serta iman kepada Allah.
Kisah si pemilik kebun pula mengenai ujian dan fitnah harta benda yang menimpa mereka. Ia mengingatkan kita kepada kehidupan dunia yang akan musnah dan hari akhirat kekal selamanya.
Kisah ketiga iaitu Nabi Musa dan Nabi Khidir berkisar tentang ujian serta fitnah ilmu. Ia mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dan rendah diri walaupun dikurnikan ilmu yang tidak terhingga.
Kisa terakhir ialah tetang Zulqarnain yang berhadapan ujian dan fitnah berkaitan kuasa. Zulqarnain yang terkenal dengan kepimpinan itu mengingatkan kita bahawa kepentingan sikap tawaduk dan mengakui kekuasaan hanyalah daripada Allah.
Surah al-Kahfi sering diingatkan supaya menjadi bacaan rutin setiap hari Jumaat. Tadabbur dan iktibar daripada kisah itu sebagai langkah memelihara diri, mengukuhkan iman dan berjaga-jaga dalam menghadapi ujian serta fitnah dunia.
Wallahualam.

No comments:
Post a Comment