Sunday, February 9, 2020

李子柒 Liziqi dan Manifestasi Kesyukuran


Siapa pernah menonton klip video Liziqi di Youtube? Saya menonton video Liziqi buat pertama kali di Youtube semasa berada di Pantai Dalam. Seorang sahabat baik yang tunjukkan sebab dia tengah berangan-angan tentang kebun belakang rumah di Kodiang.

Klip video pertama Liziqi pada 24 Ogos 2017 bertajuk Making a Dress with Grape Skin mendapat 12.4 juta tontonan sehingga hantaran ini ditulis. Tontonan klip video paling tinggi, 43.4 juta bertajuk Peanut and Melon Seeds, Dried Meat, Dried Fruit, Snowflake Cake - Snacks for Spring Festival.


Buat yang belum pernah tonton, video ini merupakan paparan kehidupan seorang gadis di suatu kawasan kaki bukit di China. Dia tinggal bersama-sama neneknya. Mata penonton disajikan dengan suasana kampung yang begitu indah dan nyaman. Ada pelbagai jenis pohon, buah, bunga dan sayur di kebun sekeliling rumah. Pagi-pagi lagi, Liziqi akan keluar dan berjalan riang memetik apa saja yang terbentang di hadapannya. Video ini pastinya menimbulkan rasa rindu kepada kampung halaman dan menimbulkan rasa ingin tahu kepada mereka yang berasal daripada kota raya.

Saya bukan mahir dalam menceritakan teknikaliti video ini tapi saya sukakan sinematografi dan sudut rakaman kamera, menjadikan video ini mempunyai kesan autentik dan nostalgik. Sebenarnya, ada beberapa bahagian dalam kesemua video Liziqi sebati dengan kehidupan sesetengah masyarakat Melayu. Ada di antara kita pernah melalui kehidupan di kampung. Ditambah dengan muzik latar yang mendamaikan. Video Liziqi tidak menggunakan dialog pun, cukup dengan sedikit sari kata tetapi pergerakan dan susunan plot cukup untuk membuatkan penonton faham dan tak berkerdip walaupun sesaat sehingga ke penghujung video.

Sesiapa yang menonton pasti akan cemburu dengan kehidupan yang dilalui oleh Liziqi. Kalau diberi peluang, pasti kita sendiri ingin meninggalkan segala keserabutan kerja dan menyertai Liziqi di sana, menjalani kehidupan dengan aman damai.


Sebenarnya, video ini telah memperbesarkan (amplify) perkara-perkara kecil yang dilalui Liziqi dalam kehidupan sehariannya dan diolah supaya kelihatan bahawa dialah gadis paling bahagia dalam dunia dengan apa yang dilalui. Seterusnya, kita diperangkap dengan pemikiran seolah-olah kehidupan kita belum cukup bahagia.

Cuba kita cari satu perkara kecil yang membahagiakan, dan kita besarkan (amplify). Perkara yang memeningkan semua tu kita kecilkan dan anggap macam wayang je. Lepas tengok, habis. Kita juga boleh jadi seperti Liziqi dalam kapasiti kita sendiri. Rasakan keindahan dalam setiap momen yang berlaku dalam kehidupan.

Selalulah berdoa supaya Allah memberikan kecukupan kepada kita.

Mimi Mizisya.
Aktivis PEMBINA Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment