Tik tok adalah salah satu sosial platform yang saban hari makin terkenal bukan sahaja dalam kalangan remaja tetapi juga orang dewasa. Tik tok berasal daripada China dan diasaskan pada tahun 2012 dimana platfrom ini membenarkan para pengguna membuat lip-sync lagu-lagu tertentu.
Ironinya, nama Tik Tok yang diberikan untuk aplikasi ini pasti ada sebab disebaliknya.
Saya terkesan membaca bait-bait nasihat dalam sebuah buku sebagai persediaan untuk menyambut Ramadan yang bakal menjelma tidak kurang dari seratus hari lagi.
Nasihatnya berbunyi begini;
Waktu.
Datang terasa sekejap, pergi terasa sekelebat (baca:tidak disedari). Maka waktu pada dasarnya hanyalah saat-saat. Saat di mana kita mengisi waktu dengan sesuatu, maka sesuatu itulah yang memberi erti pada waktu kita. Apa yang kita lakukan, apa amal yang kita perbuat. Semua itulah yang akan memberi makna pada waktu. Bila kita berbuat baik, maka waktu tersebut punya erti yang baik. Begitulah juga sebaliknya.
Maka waktu yang dibiarkan kosong, tidak diisi dengan perbuatan, akan menipu dan memperdayai. Seperti kata Rasulullah, " Dua nikmat yang manusia banyak tertipu dan merugi, iaitu kesihatan dan waktu." Ketika Allah menjelaskan manusia semua dalam keadaan menrugi, Ia memulakan dengan sumpah atas nama waktu.
"Demi masa."
Maka, tanpa mengisi dengan iman dan amal yang soleh, serta nasihat menasihati ke arah kebenaran dan kesabaran, waktu hanya memberi kesempatan manusia untuk terus berada dalam kerugian.
Jadi, kata kuncinya ada pada dua hal; WAKTU dan ISI DARI WAKTU ITU.
Hati saya terkena panahan dari penulis buku ini. Tepat terus ke hati. Deep. Waktu, yakni masa. Masa sekarang berlalu sangat pantas. Pejam celik, pejam celik (klise) sudah sampai awal Februari. Tahun 2020 hanya berbaki 10 bulan 20 hari lagi. Balik rumah, buka planner, terkesima melihat matlamat yang ingin dicapai pada tahun 2020. Masih banyak yang belum dicapai. Tapi masa tetap setia berlalu pergi...tik...tok...tik...tok.
Nasihat Sulthan Hadi dalam bukunya ini membuatkan saya muhasabah tentang masa dan melempar balik momen saya menghabiskan masa sepanjang 26 tahun hidup di dunia. Okaylah, tolak tujuh tahun sebab belum mumayyiz kan. Apa yang saya buat sepanjang 19 tahun untuk mengisi waktu yang ada. I was once a die hard fan (baca: kipas susah mati) of Girls Generation. And I regret it like a lot!
Sejujurnya ketika saya mula disapa tarbiyyah, dalam satu liqo, mak usrah tanya tentang Rasulullah dan para sahabat. Dan saya rasa sangat rendah diri sebab saya tak tahu banyak. Sekadar tahu tentang Nabi SAW dalam lirik lagu sahaja. Lebih dari itu, saya tak tahu. Tapi, tanya saya tentang Girls Generation, saya tahu segalanya dari A - Z. Yes, everything.
Dan di sinilah segalanya bermula, sebab saya rasa useless. Tentang Nabi SAW pun saya tak tahu. Tapi nanti yang nak bagi syafaat kepada saya Nabi Muhammad SAW bukan Girls Genaration! Terasa kebodohan yang teramat ketika itu. Maka bermulalah kisah, mujahadah melawan hawa nafsu k-pop. Banyak kali jatuh, banyak kali bangun, jatuh balik, bangun balik. Bak lirik lagu Sarah Suhairi.
I rise and I fall
Dan bukan untuk kau menilai
Cause I fall but I rise
Kerna 'ku terus percaya
Ya terus percaya yang aku boleh berubah. Jatuh bangun itu biasa. Mujahadah itu pahit dan sakit kerna syurga itu manis. Gitu.
Dan masa masih terus berlalu meninggalkan kita dengan pantas. Now that I am currently working in fast paced industry, saya sangat rindu dengan masa saya ketika berada di zaman universiti. Padahal pada ketika itu, rasa macam, akulah yang paling sibuk tak cukup waktu. Realitinya, waktu belajarlah paling banyak waktu yang ada untuk melakukan segala hal. Rindu.
Hari ini, ketika memandu kereta saya terdengar sebuah lagu yang liriknya sangat menarik. Pada mulanya saya tidak mendengar dengan teliti, jadi saya hanya mampu menangkap lirik "Parti sampai ke pagi". Dalam hati saya mengomel, "Lagu apa pula ni, ajak orang ke parti." Tapi sebenarnya, lirik lagu ni adalah lirik lagu yang mengajak kita untuk berubah.
Betul. Masih belum terlambat untuk kita bangun merubah diri walaupun masa pantas berlalu. Allah pandang setiap daripada usaha kita untuk mencapai redha-Nya. Moga menjadi asbab kita ke syurga.
Tik tok tik tok jam berbunyi
Cepat taubat, dunia dah tenat
Tiktok tiktok masa pergi
Harus ingat, sebelum terlambat
Pintu maaf masih luas terbuka
Tiktok tiktok renungkanlah hidup kita
Takkanlah selamanya di sini.
Kita takkan selamanya di sini.
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PEMBINA Cawangan Kuala Lumpur.
Penafian: Penulisan ini adalah bersifat personal dan tidak mewakili pendirian rasmi Persatuan Belia Islam Nasional.

No comments:
Post a Comment